#Mayat seorang remaja lelaki ditemui dengan kesan lebam dan berbirat di seluruh badan dipercayai akibat dibelasah di premis mencuci kenderaan di Lebuh Carnarvon, malam tadi.
#Muneeswaran, 16, anak yatim piatu yang bekerja di premis berkenaan dikatakan telah mencuri sesuatu daripada majikannya dan mayatnya ditemui di premis berkenaan pada jam 7.30 malam.
#Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC, Datuk Mazlan Kesah berkata, polis sedang menyiasat berapa lama remaja itu telah bekerja di situ kerana mangsa masih di bawah jagaan sebuah rumah anak yatim persendirian di Jalan Scotland.
#“Polis percaya lebih daripada dua suspek terlibat dan kami turut menemui kerusi plastik yang telah patah dan kabel elektrik sepanjang 0.9 meter dipercayai digunakan untuk memukul mangsa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
#Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian menghubungi balai polis berdekatan.