PARAH: #Anggota bomba memberi rawatan awal kepada pemandu dan kelindan sebelum menjalankan usaha mengeluarkan mangsa-mangsa yang tersepit.
Pemandu maut selepas lori dipandunya rempuh belakang lori kontena di Jalan Abell, Kuching awal pagi semalam.
KUCHING: #Seorang pekerja maut pada hari pertamanya bekerja selepas lori satu tan yang dipandunya merempuh belakang lori yang membawa muatan kontena di Jalan Abell di sini, kira-kira jam 2.30 pagi semalam.
#Mangsa yang dikenal pasti sebagai Tan Kim Seng, 29, dari Tabuan Desa bersama seorang lagi lelaki, masing-masing tersepit di tempat duduk pemandu dan kelindan.
#Pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuching bergegas ke tempat kejadian susulan menerima panggilan kecemasan untuk mengeluarkan mangsa-mangsa tersepit.
#Bomba mengambil masa 17 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa.
#Tan dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan menggunakan ambulans namun meninggal dunia tidak lama kemudian.
#Manakala kelindan yang berusia 37 tahun dibawa ke HUS dengan menggunakan jentera Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) Kuching.
#Mangsa dipercayai mengalami retak tulang dagu, kecederaan dalaman serta retak kedua-dua tapak kaki.
#Keadaan mangsa setakat ini belum dapat dipastikan.
#Isteri kelindan lori tiba di HUS sekitar jam 4 pagi selepas menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut.
#Ibu kepada lima anak itu turut melahirkan perasaan sedih kerana anak bongsu mereka yang berusia enam bulan baharu keluar hospital tiga hari lepas selepas mengalami jangkitan paru-paru dan kini giliran suaminya ‘berkampung’ di hospital.
#“Sebelum ini kami sering berulang-alik ke hospital apabila bayi saya yang lahir pramatang terpaksa menerima rawatan akibat jangkitan kuman di paru-paru.
#“Baharu tiga hari bayi keluar hospital, kini giliran suami saya pula di hospital,” katanya dengan nada sebak.